*untitled*

PROLOG 

Kelam

Perlahan-lahan mata dibuka. Penat dan sakit berdesup terasa ke setiap anggota badan. Luka demi luka diamati, pedih. Aku rasa darah yang mengalir lebih banyak daripada darah masih berbaki. Lutut sudah tak berupa lutut. Kulit sudah tiada, yang tinggal hanya daging yang berdarah kekuningan, kehitaman dan kemerahan. Jijik.

Calar di badan aku bukan biasa-biasa. Sehingga kelihatan tulang beserta isi yang hampir terkeluar. Bukan itu sahaja, muka aku sudah bukan muka. Sudah seperti najis yang mengotori dan menghodohkan rupa. Cecair yang kena pada muka aku mengubahnya jadi begini.

Sakit yang tak terperi. Aku tak dapat gambarkan. Sangat sakit! Perit! Pedih!  Bagaimana semua benda boleh begini?

"Dah bangun?" Satu suara menyapa aku dari kegelapan yang samar ini. Mata aku meliar mencari arah datangnya suara tersebut. Tapi terlalu gelap, aku tak nampak apa-apa. Aku mengumpul kekuatan untuk bangun. Tapi aku memang sudah lemah, tak daya. Rasa sakit ini sudah menguasai seluruh jasad aku.

'Plapp!' Bunyi hentakan suis kedengaran. Lampu di setiap penjuru terpasang beransur-ansur. Terang! Setelah berlamaan di tempat gelap mata aku jadi sakit untuk lihat tempat yang cerah. Mata aku yang sukar dibuka ini aku paksa bukakan dan mencari kelibat sesiapa.

Aku lihat susuk tubuh yang sedang menghampiri aku. Langkahnya diatur menuju ke arah aku sambil tersenyum dengan pandangan yang tajam. Di sisinya sebilah kapak digenggam kemas.

Peluh kian membasahi dahi aku. Jantung aku semakin kencang berdegup. Aku tahu siksaan ini akan diteruskan. Aku takut. Tapi aku dah tidak berkudrat untuk melawan. Usaha hanya sia-sia.

Langkah itu berhenti di hadapan aku. Mata yang tajam itu mencucuk gentar aku. Air mata aku sudah tidak dapat ditahan lagi. Empangan yang aku cuba tahan sudah pun penuh. Bergelinangan air mata membasahi pipi buruk aku.

"Jangan, tolong jangan." Aku merayu habis habisan. Sakit yang aku rasakan sudah cukup seksa mahu ditambah lagi. Tapi aku tahu rayuan ini sia-sia. Aku akan tetap kena. Aku pasrah.

Kapak itu dihalakan ke lutut aku yang hampir tinggal tempurung itu.

Pappppp!

Kapak itu berhempas di atas lutut. Darah merah memancut keluar deras. "AHHHHHHHH!" Aku jerit sekuat hati.

Kaki aku tercabut, cantuman peha dan betis sudah berpisah. Lutut yang keras sudah pecah. Sakit hanya tuhan yang tahu. Air mata aku makin laju turun.

Kapak itu diangkat kembali, dilapkan darah yang tersisa pada bilahan kapak, penuh teliti. Selesai lap, pandangan tajam sekali lagi dihadiahkan kepada aku. Senyuman yang ngeri itu turut dihadiahkan kepada aku. Kemudian dipandang ke leher aku yang dipenuhi calar-balar. Pandangannya silih berganti terhadap kapak dan leher aku. Aku seolah-olah boleh membaca fikirannya. Ah tidak!

"Tak tak takkk! Jangan! Aku minta sangat weh. Tolonglah... Jangan!" Aku makin takut, nyawa aku ibarat telur di atas tanduk. Setelah lama aku terseksa, pengakhirannya adalah mati?

Kapak itu diangkat tinggi dihalakan ke leher aku. Paaaapppp! Kapak yang diayunkan itu mendarat dileher.

"Eergkk" aku lemah. Aku terkulai. Darah memancut keluar dengan sangat pantas seperti lembu yang disembelih. Leher aku sudah pun berpisah daripada badan. Aku sudah tidak punya apa-apa deria kecuali deria sakit. Mata aku terbeliak. Lidah aku terjelir.

Perlahan-lahan dunia kelihatan gelap.

"Hahahahahaha!"

Sebuah senyuman penuh kepuasan terpamer.

***
Suasana yang hingar bingar tadi sudah kembali sunyi. Sudah agak malam untuk membuat bising. Sekarang beralih kepada telefon bimbit. Zaman dah moden, melepak pun dalam telefon agaknya. Masing-masing melayan laman sosial mereka.

"Sekarang ni bila nak gerak ni?" Amat sudah bosan menunggu.

"Jap jap." Ijoy masih tidak berpisah dengan telefon bimbit. Entah apalah yang disibukkan sangat dengan telefon tu. Dah macam awek dah, berkepit saja dengan telefon bimbit yang takdelah mahal pun.

"Eh kalau nak tunggu kaulah macam nak tunggu babi masuk islamlah cerita dia." Amat semakin berang. Penyedut minuman itu disedut tapi terlupa air yang diorder sudah lama habis.

"Jap ah, kat sini je ada wifi bodoh." Ijoy masih tidak lekang.

"Dah, aku gerak dulu." Amat malas nak melayan lalu bangun dan menuju ke kaunter melakukan pembayaran.

"Weh weh." Ijoy pun dah tiada pilihan dan terus bangun membontoti Amat ke kaunter.

Mereka melangkah keluar dari restoran mamak itu bersama bebelan Amat yang masih belum habis. Langkah dituju ke kereta yang diletakkan tidak jauh dari restoran.

Tiba-tiba Ijoy terasa kakinya tersentuh sesuatu. Terdapat sebuah plastik hitam bergolek pada kakinya. Tanpa berfikir panjang dia mengangkat plastik tersebut dan buka ikatan plastik yang kelihatan ketat betul.

"Apo bondo lagi tu." Amat bersuara.

Ikatan itu sudah pun dileraikan.

"WEHHH!" Ijoy menjerit kuat.

Isi yang terdapat dalam plastik dikeluarkan, sebuah kepala manusia yang dipenuhi dengan darah yang masih merah dipegang. Wajahnya cukup hodoh setelah disimbah dengan asid.

"BEKAA!"